PERINGATAN

Kandungan blog ini tidak sesuai untuk golongan profesional atau individu yang mempunyai pengalaman dalam hal ehwal pengurusan korporat. Kami juga tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan, kemusnahan dan kecelakaan disebabkan penggunaan maklumat dalam blog ini. Namun, kami telah sedaya upaya mempersembahkan yang terbaik dan termampu untuk rujukan anda. Rujukan untuk blog ini diambil dari sumber-sumber yang diiktiraf dan diyakini kesahihannya berserta pengalalaman pemilik blog sendiri. Semoga anda menggunakan maklumat blog ini dengan sebaiknya. Selamat membaca !!!

28 Januari 2009

JENIS-JENIS PENDAPATAN DIKENAKAN CUKAI, BORANG CUKAI & TARIKH KEMBALIAN BORANG CUKAI

Assalamualaikum...& selamat bertemu kembali,

Selepas pergi 4 tempat kenduri... badan rasa tak berapa sihat, perut sakit semacam jer, ari ini pergi klinik doktor kata makanan yang dimakan tak bersih, mungkin air tak masak atau memang air paip yang diminum... Tapi sekarang dah ok dah...

Sambung ke topik kita dua hari lepas, saya janji nak bagi info pasal jenis-jenis pendapatan dikenakan cukai, borang-borang cukai dan tarikh kembalian borang.

Ok, seperti kita tahu cukai pendapatan dikenakan kepada semua individu, perniagaan atau syarikat yang memperolehi pendapatan di Malaysia atau pendapatan dari luar Malaysia yang diremitkan ke Malaysia. Tapi bermula, 1 Januari 2004 pendapatan dari luar Malaysia yang diremitkan ke Malaysia dikecualikan cukai. Perubahan ini untuk menggalakkan pelaburan syarikat-syarikat Malaysia ke luar negara (FDI).

Jenis-jenis pendapatan yang dikenakan cukai ialah :

  • Keuntungan dari perniagaan
  • Perolehan dari penggajian
  • Dividen, faedah atau diskaun
  • Sewa, royalti atau premium
  • Pencen, anuiti atau bayaran yang diperolehi secara berkala
  • Pendapatan selain dari atas

Jenis-jenis pendapatan yang tidak dinyatakan di atas ianya akan diputuskan di mahkamah samada pendapatan tersebut dikenakan cukai atau sebaliknya.

Pendapatan Penggajian

Akta Cukai Pendapatan, 1965 mendefinasikan penggajian sebagai wujudnya hubungan antara majikan dan pekerja. Pendapatan diperolehi pekerja (dipanggil gaji) yang dibayar oleh majikan dikenakan cukai. Tetapi ianya tertakluk kepada jumlah gaji tersebut. Biasanya gaji yang diterima lebih RM 2,200 dikenakan cukai tetapi bergantung kepada item-item dalam pengiraan cukai seperti, pelepasan, rebet dan sebagainya.

Bagi majikan yang mempunyai pekerja wajib mendaftar fail majikan dengan membuat permohonan di pejabat LHDN di kawasan atau cawangan terdekat. Selepas mendaftar fail majikan, LHDN akan menghantar Borang E, majikan perlu mengisi maklumat mengenai pekerja-pekerja mereka di dalam borang tersebut.

Bagi pekerja-pekerja yang mempunyai pendapatan melebihi RM 2,200 boleh membuat bayaran cukai melalui potongan PCB (Potongan Cukai Berjadual), dimana cukai dipotong setiap bulan melalui gaji yang dibayar. Majikan perlu menghantar bayaran yang dipotong tadi berserta Borang CP39 pada hari ke 10 bulan berikutnya.

Potongan PCB bukan bayaran cukai mutlak, ini merupakan bayaran cukai bagi meringankan beban pekerja pada penghujung tahun. Pembayar cukai tetap perlu mengisi Borang BE pada penghujung tahun dan membuat pengiraan cukai melalui sistem tafsir sendiri. Selepas membuat pengiraan cukai mungkin terdapat lebihan atau kurangan cukai oleh itu, pembayar cukai perlu mengishtiharkannya dalam borang BE dan membuat bayaran atau menuntut lebihan bayaran. Borang BE perlu dikembalikan sebelum 30 April tiap-tiap tahun.

Pendapatan Perniagaan

Di Malaysia entiti perniagaan boleh dikelaskan kepada:

  • Syarikat terhad kepada saham (sdn.bhd / berhad)
  • Syarikat terhad kepada jaminan
  • Syarikat terhad kepada saham & jaminan
  • Syarikat tidak terhad
  • Syarikat Asing
  • Perniagaan Tunggal
  • Perniagaan Perkongsian

Saya berhenti di sini dulu dan sambung selepas sembahyang zohor. Ok... cuba fahami yang ni betul-betul. Anda dinasihatkan menghubungi ejen cukai anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Ok, wassalamu.







27 Januari 2009

TAX AUDIT & OBJEKTIFNYA

Assalamualaikum semua…

Ini merupakan coretan kali ketiga saya hari ni, biasalah cuti panjang. Musim cuti macam ni kebanyakannya mengambil kesempatan mengadakan kenduri kahwin. Saya dapat jemputan lebih empat kenduri kahwin minggu ni dari sanak saudara dan kawan-kawan.

Ok… saya nak terangkan sedikit perihal tax audit. Apa tu tax audit ? Apa LHDN nak audit ? bila ? bagaimana kerja audit ? Saya akan terangkan dari awal kenapa LHDN menjalankan Tax Audit atau audit perihal cukai pendapatan oleh pegawai LHDN.


Tax audit bermula apabila bermulanya pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri.

Apa itu Sistem Taksir Sendiri (Self-assessment System) ?

Tanggungjawab membuat pengiraan cukai berada ditangan pembayar cukai. Ini berbeza pada masa dulu, dimana pembayar cukai hanya perlu mengisi borang cukai dan menghantarnya ke LHDN untuk ditaksir. Sekarang pembayar cukai perlu mentaksir (membuat kiraan cukai) sendiri dan membuat bayaran sepertimana pengiraan yang telah dibuat.

Pembayar cukai tidak lagi perlu melampirkan pengiraan cukai, penyata kewangan dan dokumen sokongan bersama Borang Kembalian Cukai (Tax Return Forms). Untuk memastikan dokumen-dokumen tersebut kekal wujud walaupun tidak perlu dihantar ke LHDN , pegawai LHDN akan mengadakan lawatan ke premis pembayar cukai secara “rawak” atau yang “disyaki” untuk memeriksa dokumen sokongan, pengiraan cukai, akaun dan dalam masa yang sama cuba memahami jenis dan proses perniagaan pembayar cukai dan hal ehwal kewangan. Ini lah yang dikatakan Tax Audit atau lawatan mesra alam pegawai LHDN ke premis pembayar cukai.

Pemeriksaan pegawai LHDN melibatkan hal ehwal kewangan pembayar cukai bagi memastikan kembalian cukai atau bayaran cukai kena bayar yang ditaksir sendiri tadi adalah betul dan menilai sebarang tanggungan cukai yang lain.

Antara objektif Tax audit ialah :


  • Menyemak kesahihan laporan pendapat pembayar cukai.

  • Pelarasan, pengecualian dan tuntutan cukai yang dibuat konsisten dengan undang-undang.

  • Rekod dan akaun disimpan dengan baik.

Anda dinasihatkan memberi sepenuhnya kerjasama kepada pegawai LHDN yang melawat anda. Anda juga perlu menerangkan system pejabat atau system perakaunan yang digunakan jika diminta. Kebenaran memeriksa rekod fizikal atau elektronik, dokumen-dokumen dan buku-buku akaun kepada pegawai LHDN. Segala kemudahan semasa pemeriksaan seperti mesin fotostat, telefon, atau peralatan komunikasi, pemancar, ruang kerja dan perabot perlu disediakan tanpa mengenakan sebarang bayaran.



Walaubagaimanapun, anda akan diberitahu dulu samada melalui e-mail, faks, surat pos daftar atau sebagainya sebelum pegawai LHDN datang melawat anda. Nama pegawai yang memeriksa dan kebenaran memeriksa disertakan.


Tax Audit Vs Tax Investigation ?

Tax investigation atau siasatan cukai lebih kepada untuk megesan penipuan dikalangan pembayar cukai dan tiada sebarang notis pemberitahuan dikeluarkan sebelum siasatan dijalankan. Nampak tak perbezaannya ???

Anda boleh bersedia dengan jawapan apabila LHDN hendak melawat anda bagi tujuan Tax Audit. Biasanya LHDN akan menghantar pegawainya dalam tempoh 3 bulan atau kurang daripada tarikh notis pemberitahuan dikeluarkan. Sekiranya masa dan hari LHDN tetapkan tidak bersesuaian, anda boleh memilih atau mencadangkan tarikh baru kepada LHDN, “lawatan mesra alam” katakan.

*** Anda boleh panggil ejen cukai untuk mewakili anda. Anda juga dinasihatkan menyemak dan memeriksa nama pegawai LHDN yang datang melawat anda sebelum membenarkan mereka masuk ke premis anda. Jangan membayar sebarang penalty atau denda semasa lawatan mereka…

Setakat ini dulu info saya, lenguh tangan dah…

kita sambung ke topik lain iaitu Jenis borang-borang cukai pendapatan dan tarikh kembalian borang..

Wassalamu.

26 Januari 2009

TIP-TIP MERANCANG CUKAI PENDAPATAN

Assalamualaikum & bertemu kembali..

Sempena Tahun Baru Cina, saya bercuti selama seminggu. Banyak masa “free”, jadi untuk itu saya ringankan tangan untuk memberi sedikit info dalam blog ini.

Seperti yang saya janjikan, saya ingin berkongsi sedikit tip-tip untuk mengurangkan amaun cukai perlu dibayar (bagi perniagaan). Antara tip-tip yang anda boleh ikuti ialah :

1) Jadikan suami / isteri anda sebagai pekerja dan bayar gaji /
upah /elaun. Ianya dibenarkan untuk penolakan dalam pengiraan cukai. Dengan melakukannya kadar cukai anda akan turun disebabkan penurunan pendapatan yang dikenakan cukai. Rancang pembayaran gaji pasangan anda !!!

2) Anda boleh memilih samada membuat taksiran bersama atau taksiran berasingan. Bagi taksiran bersama anda layak mendapat pelepasan isteri / suami sebanyak RM 3,000.00. Sekiranya pasangan anda mempunyai pendapatan yang rendah anda boleh memilih taksiran bersama untuk kebaikan anda. Oleh itu, pilih dengan bijak !!!

3) Derma merupakan satu cara kebanyakan syarikat amalkan untuk mengurangkan cukai kena bayar. Tetapi anda perlu tahu derma yang bagaimana dibenarkan. Anda perlu tahu kelayakan badan kebajikan (tempat yang didermakan) dan jumlah amaun yang akan ditolak dari derma tersebut. Badan kebajikan mesti mendapat kelulusan dari LHDN. Semua tuntutan derma perlu dikembarkan bersama resit bernombor dan original. Derma yang melebihi pendapatan agregat tidak boleh dibawa ke tahun depan. Ingat tu !!!


Walauapapun, anda perlu tahu bagaimana merancang cukai pendapatan anda. Perancangan cukai bermula dari awal tempoh perakaunan atau perniagaan lagi. Bukannya semasa anda isi borang taksir cukai… Ingat tu semua !!! Semua perkara dalam kehidupan kita perlu bermula dengan perancangan, mereka yang gagal merancang sebenarnya merancang supaya gagal.

Ok.. kita sambung perbincangan kita di lain catatan. Isteri saya ajak makan nasi… ok.. Wassalam…

:: Topik seterusnya Tax Audit…. Tunggu…….


KEPENTINGAN PERAKAUNAN KEWANGAN PERNIAGAAN SEBELUM MEMBUAT KIRAAN CUKAI PENDAPATAN

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Pada ruangan blog kali ini saya ingin berkongsi perihal kepentingan penyediaan perakaunan perniagaan sebelum membuat pengiraan cukai pendapatan (bagi individu / syarikat). Kita sedia maklum sebelum suatu pengiraan cukai pendapatan perniagaan dilakukan, sesebuah perniagaan perlu menyediakan laporan kewangan yang terdiri daripada maklumat-maklumat perakaunan bagi suatu tempoh. Dari maklumat perakaunan inilah kita dapat menghitung berapa banyak amaun cukai yang kena dibayar.

Dalam percukaian ada setengah item dalam penyata kewangan yang tidak diiktiraf oleh LHDN / IRB. Item-item seperti belanja pengurusan yang tidak berkait secara langsung untuk menjana jualan dinamakan “belanja tidak dibenarkan” akan ditambah semula pada untung bersih bagi menghasilkan “pendapatan dilaraskan”. Ada banyak lagi item-item dalam penyata kewangan yang perlu dirungkaikan sebelum suatu pengiraan cukai dihasilkan dengan sempurna. Penyata kewangan yang lengkap dan betul perlu disediakan agar hasil pengiraan cukai dapat memuaskan hati pihak LHDN.

Ada juga sesetengah peniaga yang cuba “mengecilkan” atau “menghapuskan” amaun cukai yang perlu dibayar tanpa membuat persediaan dari segi bukti-bukti (tax evidence). Sekiranya pegawai LHDN mempertikaikan amaun tersebut… macamana??? Jadi rasionalnya, sebelum melakukan perubahan pada cukai taksiran, para peniaga perlu faham dan bersedia untuk menjawab soalan-soalan pegawai LHDN. Justeru, pemahaman dalam perakaunan perlu diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum terjun ke hal berkaitan percukaian.

Yang paling lucu, ada peniaga kedai runcit datang berjumpa saya dan meminta saya mengisi Borang B (Borang Cukai Taksiran Bagi Perniagaan) dan bila saya tanya “En. dah buat perakaunan perniagaan ?”. Jawabnya “Belum”. Saya tanya lagi “En. ada simpan invois, payment voucer, resit, bil tunai, buku tunai/bank dan buku jualan ?”. Jawabnya “Tak pernah simpan”. Terus saya suruh dia pegi mintak tolong dengan orang lain.

Apa yang ingin saya katakan di sini ialah sebarang bentuk perniagaan perlu menyimpan koleksi dokumen transaksi yang berlaku sepanjang tempoh perniagaan dalam apa jua bentuk samada original documents (resit, invois, bil dan sebagainya), book record (catat dalam buku) atau menggunakan komputer (softcopy). Contohnya, satu hari Abu membeli stok kad prepaid sebanyak 100 keping berharga RM 960.00 secara tunai untuk dijual. Abu seharusnya menyimpan bil tunai dari pembekal tadi atau mencatitkannya dalam buku belian atau memasukkannya ke dalam rekod komputer. Daripada maklumat transaksi inilah suatu penyata kewangan dapat dihasilkan seterusnya menjadi item penting untuk membuat pengiraan cukai pendapatan. Maklumat sedemikian perlu disimpan sekurang-kurangnya 7 tahun, dalam tempoh itu, mungkin LHDN akan mintak untuk tujuan audit.

Saya akan berikan sedikit tip-tip untuk mengurangkan amaun cukai yang anda perlu bayar diruangan blog selepas ini…Gong Xi Fa Choi